Wednesday, 22 March 2017

*JENIS-JENIS HANTU & MAKHLUK MITOLOGI DALAM KEPERCAYAAN MASYARAKAT DUSUN LIWAN-BUNDU DI SABAH (KEPERCAYAAN LAMA)*


1. HANTU SIOD DALAN
Rupanya seperti manusia. Bersaiz kecil, lebih kurang sebesar ibu jari. Suka merayau-rayau waktu hujan di malam hari. Dapat diketahui kedatangannya apabila mendengar suara siulan perempuan yang lembut. Suka berteduh di bawah kulung rumah orang kampung. Apabila ia berada di bawah kulung rumah seseorang, maka seisi rumah orang tersebut akan terasa panas. Cara untuk menghalaunya pergi adalah dengan menjatuhkan puntungan api di celah-celah lantai rumah ke bawah kulung kerana dipercayai bahawa hantu itu meminta api dari pemilik rumah tersebut. 

2. KUMOKODONG (BALAN-BALAN/PENANGGAL)
Kumokodong dalam versi kepercayaan Dusun Liwan-Bundu lebih kepada sejenis makhluk yang telah lama wujud dan bukanlah berasal dari organ manusia yang tercerai seperti mana yang dikenali sebagai Balan-balan. Seperti balan-balan, ia hanya terdiri dari bahagian kepala berserta usus-usus yang terbang pada waktu malam untuk memangsa binatang ternakan seperti babi, ayam dan sebagainya untuk menghisap binatang-binatang tersebut. Wanita yang sedang mengandung, datang bulan atau bersalin amat menarik perhatian makhluk ini untuk datang. Ia takut kepada benda-benda yang tajam terutamaduri dan juga takut apabila terhidu aroma limau nipis dan bawang putih.

3. HANTU TUNGA-UNGA
 Dapat dikenali melalui suaranya yang mirip bayi sedang menangis. Dipercayai gemar menculik kanak-kanak yang kerap menangis atau yang diabaikan oleh ibu bapa. Rupanya seperti seekor biawak yang dapat berjalan dua kaki layaknya manusia, dan juga kemerah-merahan pada hujung mulutnya. Ia takut ketika mendengar paluan gong (kulintangan) dibunyikan dan juga bunyi piring atau tempayan yang pecah.

4. HANTU KALINDAHAU
 Kalindahau mirip dengan pontianak iaitu mengenakan pakaian putih yang kotor dan kusam, serta berambut panjang. Ia akan mengeluarkan lidahnya sampai ke tanah apabila sedang kelaparan atau untuk menakut-nakutkan kanak-kanak. Ia akan berkeliaran di dalam hutan atau di tempat-tempat yang sunyi dan penuh dengan semak belukar pada waktu senja tatkala matahari kuning. Dipercayai apabila terserempak dengan hantu ini, hendaklah berpatah balik dari arah yang ingin dituju dan tidak boleh memandang ke belakang kerana dikuatiri hantu ini akan mengejar dan membunuh orang berkenaan.

5. MONDOU
Makhluk mitologi yang dipercayai sangat ganas dan suka memakan daging manusia. Rupanya mirip seperti keluang yang dua kali lebih besar berbanding tubuh manusia, bertanduk panjang dan bergigi taring panjang. Matanya yang berwarna merah akan menyala ketika sedang terbang waktu malam. Ia juga dapat bertukar wujud menjadi tujuh jenis binatang iaitu: kucing, anjing, babi, burung hantu, kelawar, kerbau dan lembu dan dipercayai akan mulai mengganas apabila rupanya berubah menjadiseekor lembu. Menurut cerita orang-orang tua, makhluk ini pernah ditemui di daerah Tenom, Keningau dan Tambunan pada zaman dahulu kala. Ia takut kepada bau kulit kura-kura atau kulit belangkas yang dibakar dan juga unggun api yang dinyalakan.

6. BUGANG
Bugang merupakan makhluk mitologi Dusun Liwan-Bundu yang juga dikenali sebagai naga bukit. Saiznya lebih kurang seperti seekor burung helangdan memiliki kelebihan mengeluarkan api dari mulutnya. Apabila ia hinggap di sebatang pokok, maka serta-merta pokok itu akan terbakar dengan sendirinya. Ia dipercayai takut dengan manusia dan akan mengeluarkan suara nyaring apabila menyedari kedatangan manusia kemudian terbang lari.

7. HANTU NARU SUSU
Kata "Naru Susu" berasal dari bahasa Dusun yang bererti "Berpayudara Panjang", merujuk kepada hantu ini yang memiliki payudara yang panjang dan runcing. Ia dipercayai gemar menculik kanak-kanak kemudian memasukkan ke dalam payudaranya. Ia akan datang kepada sepasang suami isteri yangkerap bertengkar dan menculik anak mereka.

8. HANTU GONTUTUT
Hantu gontutut dipercayai merupakan jasad manusia yang berubah bentuk disebabkan memiliki dendam terhadap orang-orang yang masih hidup. Ia akan berkeliaran pada waktu malam dalam bentuk rangka (tulang) manusia yang sudah tidak memiliki isi. Ia akan mengeluarkan bunyi seperti "tut...tut...tut..." ketika sedang berjalan atau terbang. Ia akan terus-menerus mengganggu orang-orang yang ia dendam sehingga orang-orang itu tidak merasa tenang dan akhirnya mati. Ia takut kepada cahaya terutama cahaya lampu.